Sunday, October 28, 2012

Coretan Kenangn Buat Yassin

Coretan Kenangan Buat Yassin,

PART -1

Tahun 2010 muncul sebagai tahun keramat kepada kehidupan anak yatim yang membesar dalam erti sebuah kehilangan.  Yassin, adalah anak kesayangan cikgu diantara ribuan anak yang cikgu sayang.  Tidak diiring oleh insan bergelar ayah dan tidak juga ditemani oleh insan bergelar ibu ketika melangkah menerima segulung ijazah di menara gading.

Yassin, situasi pertemuan kita seperti suatu kebetulan.  Kali pertama di Makmal Biologi berusia tua, Yassin tunduk sepanjang lapan puluh minit cikgu dan kawan-kawan berbalas celoteh.  Cikgu tak ingat tarikhnya, tapi bulan dan tahunnya tidak pernah cikgu lupa.  Februari 2003.  Makmal kenangan itu menyaksikan bagaimana Yassin sesekali mengangkat mata memandang cikgu.  Kemudian Yassin tunduk merenung masa depan yang tertulis di lantai hati.  Yassin jarang berbicara dan jarang pula menyambut gelak ketawa kawan-kawan.

"Cikgu, janganlah marah kalau Yassin tak pandang muka cikgu masa cikgu mengajar.  Yassin anak yatim piatu.  Ibu Yassin terbakar semasa menjual mee.  Tong gas meletup.  Ayah Yassin cuba memadam api, tapi dia juga terbakar depan mata Yassin sewaktu Yassin baru balik dari sekolah.  Masa tu Yassin tingkatan dua, abang Yassin tingkatan lima dan adik Yassin baru darjah empat".  Petah dan pekat loghat Kedah Ashraf, kawan baik Yassin melapor.  Cikgu tergamam.  Laporan tentang anak muda bernama Yassin benar-benar merentap degup jantung seorang guru.  Rupanya ketandusan kasih ibu.  

Semenjak hari Ashraf melapor itulah, dua orang anak lelaki telah hadir dalam hidup cikgu sebagai Anugerah Allah daripada jalan yang tidak disangka-sangka.  Yassin dan Iqbal.  Meriah sungguh suasana rumah cikgu jika sesekali Yassin menjenguk bila pulang dari asrama Maktab Tentera DiRaja Sungai Besi.  Cuma, cikgu mohon kemaafan daripada Yassin kerana tidak berpeluang untuk mendidik Iqbal sebagaimana cikgu mendidik Yassin.  Tuntutan tugas yang terpaksa cikgu selesaikan di Arau  merentap kesempatan cikgu untuk menunaikan permintaan Yassin.  Namun begitu cikgu berjanji, cikgu akan lakukan sesuatu untuk adik kesayangan Yassin selepas coretan ini disempurnakan.

Di suatu pagi Jumaat tahun 2010, cikgu sedang bertugas di Kolej Matrikulasi Perlis.  Ada khidmat pesanan ringkas yang masuk.  "Yassin dah letakkan bungkusan KFC atas tembok pagar rumah cikgu.  Untuk Kak Long, Kak Cik, Comel dan Rindu.  Yassin beli guna duit gaji Yassin yang pertama.  Sebagai tanda terima kasih daripada Yassin untuk cikgu yang amat Yassin sayang.  Yassin, tahukah kamu bahawa air mata cikgu tercucur keluar sederas air hujan yang turun dari langit selepas selesai membaca SMS tersebut.  Dan tahukah kamu bahawa, kotak KFC pemberian kamu itu tersimpan dalam sekeping gambar yang akan menjadi kenang-kenangan hidup cikgu di hari tua kelak.

3 comments:

  1. ASSALAMUALAIKUM WBT. DATIN. DALAM KELAPANGAN, SAYA MENCARI-MENCARI KISAH PARA GURU, SAYA TERJUMPA KISAH INI. MENITIS AIR MATA SAYA KERANA SAYA JUGA SEORANG GURU. SAYA HANYA PERNAH MENDENGAR MENGENAI DATIN TETAPI TIDAK PERNAH BERJUMPA. KINI SAYA BERADA DI SEKTOR PENGURUSAN AKADEMIK JPN KEDAH. SAYA BERDOA SUATU HARI DATIN AKAN KEMBALI KE KEDAH SEBAGAI PENGARAH PENDIDIKAN KAMI.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Allah kerana menganugerahi anak bangsaku seorang guru yang sebenar benar guru.

    ReplyDelete
  3. Subhanallah... Suatu pengalamian yang menyentuh rasa kemuliaan budi...rupanya Cikgu..ladang pahala kita sentiasa menggamit rindu kasih dan sayang...terima kasih Cikgu...

    ReplyDelete